Ramadhan kali ini sungguh bermakna. Allah menghadiahi diriku dengan nikmat yang tidak terhingga. Mengenali dirinya mengajarku seribu erti. Membuatkan aku sentiasa merenung diri. Aku mahu menjadi sepertinya. Seorang yang penuh ilmu dan bahasa. Itulah adik usrahku yang sentiasa mewangi di hati ini. Indahnya ukhwah di jalan Allah ini.
Masa yang terlalu cemburu melihat kami bersama ketika di institut membuatku ingin mencuri masa dengannya. Mahu bergelak ketawa bersama, berkongsi idea dan rasa.Keinginannya pulang ke kampung bersama, membuatku terlonjak gembira tidak terkata. Dia sudi meluangkan masa di rumah usangku.
Tidakku sangka, keinginannya membawa seribu makna. Nenek yang selalu hilang selera makan, sangat berbeza ketika dia bersama. Makan dengan penuh selera. Aku bersyukur. Nenek melayannya ibarat cucu sendiri. Adik-adikku manja dengannya. Menghargai kehadirannya. Ketika mahu kembali ke institut, kembali ke dunia yang penuh dengan kerja, nenek menangis hiba. Adik pula terlena di pangkuannya. Sungguh sayu hati ini. Tahun depan kita tidak dapat bersua lagi. Begitu juga tahun seterusnya. Namun, kasih sayang dan cinta ini tidak pernah luput walaupun kau tiada di depan mata.
Kejarlah cita-citamu. Cedoklah selautan ilmu dan pengalaman di sana. Insya Allah, doamu untuk kebahagianku akan ku genggam erat. Moga Allah memberkati. Amin.
Gunung Merbabu
3 years ago
0 comments:
Post a Comment